Kata2 semangat..
Syukur Untuk Jadi Kaya-rayaPosted by Shahabudeen Jalil
Sewaktu saya menghadiri seminar Anthony Robbins pada tahun 2003, antara ayat yang saya ingat yang disebutkan beliau pada waktu itu adalah
"Saya boleh mengakhirkan seminar 3 hari ini hanya dengan satu perkataan, perkataan itu adalah Syukur (gratitude)"
Pada waktu itu, pelbagai persoalan bermain dalam fikiran. Apa hebatnya syukur sehingga orang bukan Islam ini berkata begini ? Adakah betul maksud syukur yang dia faham dan yang aku faham ? Aku pernah dengar perkataan ini banyak kali, tapi tak pernah pulak aku tahu ini penting sangat.
Setelah saya membuat kajian secara sendiri, saya mula menyedari bahawa syukur memang satu hakikat yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Syukur yang kuat dan berterusan (strong and constant)
Syukur sendiri mempunyai kuasa dan memberi tenaga. Cuba kita sebut perkataan "Alhamdulillah" dengan menghayati bahawa kita sedang bersyukur. Kita dapat merasai sendiri tenaga yang mengalir di dalam badan kita.
Sebaliknya, cuba kita merungut. Kita dapat merasakan badan menjadi lebih lemah.Kita perlu bersyukur atas segalanya. Begitu juga dengan orang yang merungut, akan merungut atas segalanya. Akhirnya jadilah dia Si Malang. Mencipta neraka sendiri.
Cuaca panas, dia akan cakap.. "Adus panasnya, kenapa tak ada hujan ?"
Cuaca hujan, dia akan cakap.. "Aiyak, kenapa hujan jer nie. Nak buat kerja pun tak boleh."
Ini tak habis-habis.
Apa signifikan syukur kepada usahawan ?
"Demi sesungguhnya ! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras." (Surah Ibrahim 14 : 7)
Tujuan kita semua sebagai usahawan adalah untuk mendapat rezeki yang banyak. Harus faham, mendapat rezeki yang melimpah-ruah juga bukan sesuatu yang salah.
Jadi dengan mengamalkan budaya bersyukur ini, nikmat dan rezeki kita akan bertambah. Jika kita merungut atau tidak bersyukur, maka nikmat dan rezeki kita tidak kemana.
Kesimpulannya, amalkan bersyukur untuk cepat jadi kaya-raya.
Bersyukur jika hujan turun, sebab kita boleh berehat sebentar dan buat kerja dalam pejabat/rumah
Bersyukur jika panas, sebab kita boleh buat kerja luar dengan mudah.
Bersyukur jika tersangkut dalam jem, sebab kita boleh dengar lagu-lagu best di radio.
Bersyukur jika bisnes lingkup, sebab kita dapat belajar banyak perkara jadi kita boleh buat dengan lebih baik pada masa depan.
Bersyukur jika bisnes menjadi, sebab kita dapat hasil dari kerja yang kita buat.
Bersyukur atas segala-galanya dan minta pada Tuhan permintaan yang lebih besar lagi supaya apabila kita dapat permintaan yang lebih besar itu, kita akan lebih bersyukur.
Bersyukur dan terus bersyukur.... Syukur yang kuat dan berterusan.
terima kasih
Salam Perniagaan
Shahabudeen Jalil
Kuala Lumpur
13 November 2009
Sumber Ekonomi Terhad ?
Posted by Shahabudeen Jalil
Takrifan ekonomi dalam dunia moden hari ini adalah
Ekonomi = Suatu bidang sains sosial untuk mengkaji bagaimana manusia mengagihkan sumber ekonomi yang terhad untuk memenuhin kehendak manusia yang tidak terhad.
Namun takrifan ini adalah bercanggah dengan apa yang dianjurkan oleh Islam. Sumber ekonomi adalah tidak terhad bagi pandangan Islam.
Ini sejajar dengan ayat Al-Quran di bawah
"Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya, lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya" (Surah Ibrahim : ayat 34)
Kenapa pemahaman ini penting bagi seseorang usahawan ?
Ramai usahawan kekal miskin dan gagal kerana mereka merasakan diri mereka terpinggir kerana tidak mendapat peluang yang cukup seperti orang lain. Ini adalah kerana mereka faham bahawa sumber ekonomi ini terhad. Jadi apabila seseorang telah membolotnya, maka ia tidak ada lagi untuk kita mendapatkannya.
Ini pemahaman yang salah.
Sumber ekonomi yang kita nampak di depan mata kita sendiri tidak terhad. Sumber yang kita tidak nampak di hadapan mata kita adalah lebih tidak terhad.
Jika kita memandang sumber ekonomi adalah terhad, ini secara tidak langsung bermaksud kita mengecilkan kuasa Allah.
Tuhan boleh memberikan apa saja kepada manusia dengan apa saja bilangan.
Sumber ekonomi yang kita nampak di depan mata kita sendiri tidak terhad. Sumber yang kita tidak nampak di hadapan mata kita adalah lebih tidak terhad.
Ini konsep asas yang sering diabaikan usahawan. Mereka berusaha keras untuk satu tempoh masa yang singkat, kemudiannya apabila menghadapi sesuatu masalah. Mereka mula menunding jari kepada orang lain. Ini termasuklah rakan-rakan yang tidak membantu, ibu bapa yang tidak kaya, kerajaan yang tidak memberi geran, bank yang tidak memberi pinjaman, peluang telah diboloti orang yang ada 'kabel' dan semua orang yang lain kecuali diri sendiri.
Namun jika kita faham bahawa rezeki itu diberikan Allah dan tidak terhad. Maka kita tahu dengan kita berusaha dan berdoa. Kita akan dapat apa yang terbaik untuk kita. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita berbanding diri kita sendiri.
Peluang yang ada di dunia ini tidak pernah habis. Idea-idea baru di dunia ini tidak pernah habis. Setiap saat manusia bertemu dengan penemuan-penemuan baru.
Air di lautan tidak pernah kering, ikan di lautan tidak pernah kurang, emas dan perak di dalam tanah tidak pernah habis dilombong, udara tidak pernah susut.
Ini semua adalah bukti bahawa :
Sumber ekonomi yang kita nampak di depan mata kita sendiri tidak terhad. Sumber yang kita tidak nampak di hadapan mata kita adalah lebih tidak terhad.
Jadi teruskan usaha kita. Teruskan dengan minda yang positif bahawa sumber ekonomi di dunia ini tidak terhad dan tidak akan terhad. Kita mempunyai bahagian kita selagi kita berusaha, berdoa dan bersyukurKita tidak miskin kerana orang lain kaya. Dan orang lain juga tidak jadi miskin kerana kita kaya. Tuhan Maha Kaya untuk memberikan apa saja yang dikehendaki manusia.
Kesimpulannya,
Fahami
1. Sumber ekonomi yang kita nampak di depan mata kita sendiri tidak terhad. Sumber yang kita tidak nampak di hadapan mata kita adalah lebih tidak terhad.
2. Tuhan boleh memberikan apa saja yang kita kehendaki
3. Berusaha dan terus berusaha. Berdoa. Bersyukur dan minta apa saja kepada Tuhan.
Dan Tuhan kamu berfirman : "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu." (sedutan dari Surah Ghafir : Ayat 60)
Salam Perniagaan
Shahabudeen Jalil
Kuala Lumpur
No comments:
Post a Comment